PSLS HADAPI CABARAN BERAT oleh R Tombung
Dengan terdaftarnya Persatuan Suang Lotud Sabah (PSLS) pada 18 Disember 2009, maka masyarakat kaum Lotud yang ber-pusat di Tuaran kini sudah mempunyai satu kenderaan untuk menyuarakan isu-isu kepentingan Lotud, dan untuk menggabungkan tenaga para pemimpin rakyat Lotud di Tuaran dan di seluruh Sabah untuk merumuskan satu pelan strategik untuk memajukan masyarakat Lotud dalam pelbagai bidang.
Berikutan [usaha] Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA) yang juga berpusat di Tuaran dan Persatuan Lotud Sabah Bersatu (USLA), PSLS merupakan satu kenderaan baru yang memberikan peluang dan nafas baru bagi suku kaum Lotud untuk membela kaum mereka. USDA sudah pernah dibatalkan pendaftaran, dan setelah dihidupkan semula atas ehsan Pendaftar Pertubuhan, namun ia masih juga gagal disusun semula oleh para pemimpinnya. Ia tidak pernah mengadakan kongres sejak 1994 (16 tahun yang lalu)! USLA pula tidak dapat bergerak secara berkesan sejak didaftarkan sehinggalah ia dibatalkan pendaftaran kerana ia tidak cukup bergerak dan tidak membuka pintunya lebih luas untuk memberi peluang bagi para pemimpin Lotud lain memberi sumbangan.
Apa pun keadaannya, PSLS kini tampil ke hadapan dengan wadah yang sama tetapi dengan semangat dan ketegasan yang baru, di bawah kepimpinan Presiden Penajanya, En. Soguli Olid (seorang lulusan menara gading Bogor, Indonesia dalam bidang pertanian) dengan didokong oleh KAN Saniban Amphila sebagai Setiausaha Agung Penaja. Yang menjadi fokus sekarang ialah be-berapa hakikat yang menanti sebagai pencabar bagi keberkesanan PSLS untuk menghadapainya. PSLS telah didaftarkan di ketika prestasi kaum Lotud dalam pelbagai bidang begitu merudum sekali. Kaum Lotud yang pernah menikmati wibawa yang tinggi dalam bidang kepimpinan politik Sabah, dengan seorang anak watannya, Tun Hamdan Abdullah (sebelumnya dikenali sebagai OKK Indan Kari) menduduki kerusi yang tertinggi di negeri Sabah sebagai Tuan Yang DiPertua Negara (hanya selepas beliau meninggal, yang memegang jawatan itu dipanggil TYT Yang DiPertua Negeri). Selepas itu masyarakat Lotud juga berbangga dengan Datuk Kalakau Untol dan selepas itu Datuk Monggoh Orow sebagai Ahli-ahli Parlimen, dan Datuk Kalakau memegang jawatan Timbalan Menteri. Tuaran juga pernah berbangga dengan perjuangan banyak personaliti berkalibar seperti allahyarham Setiawan Ampuria, allahyarham M.A. Rahman (pejuang po-litik pembangkang dan Setiausaha Agung Penaja USDA), mendiang Gabriel Tanggar (Presiden Penaja USDA), En. Sindeh Angkati, mendiang Limbai Angkapon, mendiang Nonon Anad, mendiang Aning Atam, dan lain-lain. Hari ini memang ada beberapa tokoh yang masih ada tetapi jumlahnya seolah-olah tidak seramai atau tidak setinggi sema-ngat dari yang dulu. Mungkin ini kerana perjuangan hari ini tidak konsisten seperti dahulu, yang benar-benar memperjuangkan kepentingan kaum Dusun menentang percubaan mendiang Donald Stephens (kemudian Tun Fuad Stephens) untuk mengkadazankan orang-orang Lotud.
Kini juga sudah ramai anak-anak watan Lotud yang mencapai kejayaan dalam profesion guaman, menjadi pegawai tinggi kerajaan, dan berkarier di dalam dunia kewartawanan, penulisan, filantropi, sukan, hiburan dan bidang media massa. Namun yang ketara hanya seorang dua sahaja pemimpin yang menonjol di kalangan generasi muda. Malah kebanyakan para penaja PSLS pun adalah dari generasi yang lahir 1950-an, yang sekarang berusia menjangkau 60-an. Kenapakah keadaan ini berlaku? Satu sebabnya ialah generasi yang meninggalkan bangku sekolah di akhir 1960-an dan awal 1070-an dulu mempunyai kelebihan kerana mereka hampir serta-merta mendapat pekerjaan dan mencipta karier dan nama, dan membina kehidupan yang stabil. Kerana itu mereka dapat menyertai pergerakan-pergerakan sosial, dan dengan demikian menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan kaum mereka. Malangnya bagi mereka yang meninggalkan sekolah menengah di tahun-tahun 1980-an dan seterusnya telah menghadapi masalah untuk mendapat pekerjaan dan terlalu ramai yang ter-paksa mencari pekerjaan yang kurang stabil. Malah ada yang terpaksa mengembara ke Semenanjung, Singapura dan Brunei untuk mencari makan. Ini menyebabkan mereka kurang kyakinan diri dan tidak begitu berupaya untuk menjadi pemimpin.
Kini kaum Lotud ter-cabar kerana, terutama sekali, masalah sosio-ekonomi mereka. Dengan ke-masukan begitu ramai kaum pendatang yang jelas sekali begitu lebih rajin dan agresif, kaum Lotud ternyata ketinggalan. Contohnya, di sana-sini di Tuaran, orang-orang Lotud menyewakan tanah mereka kepada kaum Bugis yang menggunakan tanah-tanah itu untuk menanam jagung, sedangkan pemilik-pemilik tanah itu berpuas hati dengan hanya menerima duit sewa. Kaum Lotud juga perlu melihat kedudukan mereka dari segi persaingan dengan kaum-kaum anak negeri yang lain di Sabah, dan mengambil usaha yang lebih gigih dan agresif untuk meningkatkan prestasi mereka berbanding mereka. Beberapa soalan boleh ditimbulkan bersabit masalah ekonomi Lotud: Kenapakah belum ada dibentuk satu pun dewan perniagaan Lotud seperti yang berlaku di Penampang? Kenapakah belum ada satu pun yayasan yang berpusat di Tuaran, (kecuali barangkali Yayasan Kebajikan Suria milik Datuk Raya Erom yang ada pusatnya di Kg. Panjut)? Kenapakah personaliti Lotud yang benar-benar menonjol dalam bidang perniagaan hanya seorang dua? Kenapakan di pekan Tuaran tidak sampai jumlah jari sebelah tangan peniaga Lotud yang memilik kedai? Kenapakah tiada seorang pun Lotud yang layak dipanggil jutawan? Jawapannya: Semuanya ini berlaku kerana kaum Lotud sebenarnya belum mencapai tahap keberkesanan dan kewibawaan untuk mencapai prestasi dan kejayaan yang diimpikan.
Kaum Lotud juga menanggung kesan dari proses globalisasi di mana identiti mereka sudah hampir pupus. Mungkin mereka masih memakai pakaian tradisi, tetapi bahasa yang keluar dari bibir anak-anak muda mereka sekarang ialah bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Isu ini sudah begitu banyak dibincangkan dan jika semua aspeknya dihuraikan, ia akan memerlukan beberapa ribu muka akhbar atau buku.
Ini hanyalah beberapa perkara asas yang perlu difikirkan dan dihadapi oleh PSLS dengan serta-merta dan dengan sikap kesegeraan yang tidak boleh dikompromikan. Kaum Lotud sesung-guhnya berada di tengah laut globalisasi yang bergelora dan kita sering berpura-pura, berbohong pada diri bahawa semuanya dalam keadaan baik. Kita harus keluar dari kepompong selesa, dan meleraikan sikap suka menafikan kenyataan. Untuk mencapai sesuatu apa pun kita tidak boleh mengambil sikap bahawa sesuatu itu mustahil, tetapi dengan sikap “Lotud Boleh!” dan bergabung tenaga dan merumuskan pelan strategik yang berkesan dan realistisik untuk dilaksanakan demi masa depan kaum kita yang merudum hari ini. Janganlah mengharap orang lain boleh menyelamatkan kita bila kita sendiri tidak menggerakkan tangan, menghentak kaki, dan melaungkan suara yang berani dan melangkah ke hadapan dengan agresif dan kreatif.