SELAMAT JALAN KAMPUNG KU!
Sebagai manusia moden, kita sekarang berada di satu zaman di mana kita melihat perubahan melanda kita dengan cara yang begitu mendadak sehingga, dengan tiba-tiba sahaja, kampung halaman kita berubah dan cara kehidupan tradisional kita terpaksa tinggalkan.
Perubahan ini tidaklah bergitu terasa bagi mereka yang tinggal di pedalaman atau yang jauh dari bandar. Tetapi bagi kampung-kampung tradisional di kawasan-kawasan dekat bandar seperti Penampang, Papar dan Tuaran, proses permodenan telah berlaku, menyebabkan kawasan-kawasan dekat bandar ini semakin hari semakin menjadi bandar. Identiti kampung mulai hilang dengan pembinaan kilang-kilang, kedai-kedai, hotel dan motel, dan rumah-rumah teres dan apartmen.
Jika dahulu orang kampung mengenali antara satu sama lain, dengan jiran-jiran merupakan sanak-saudara dan sahabat handai yang semuanya boleh dibawa berunding dan bekerjasama, kini, dalam suasana perumahan moden, hamper semua ini sudah tiada. Yang menduduki rumah-rumah teres bukanlah orang kampung itu sendiri tetapi orang-orang dari jauh, dan dari berbagai bangsa dan agama. Dan, sedihnya, semangat kejiranan sangat kurang di kawasan-kawasan perumahan moden. Sikap, “kau, kau, saya, saya” adalah sikap yang menjadi peggangan mereka.
Dengan perkembangan ini, perasaan silaturahim antara pendduduk tidak lagi wujud, dan nilai-nilai moral masyarakat lama hampir semuanya hilang. Gotong-royong boleh dilakukan tetapi dengan orang-orang yang kita tidak begitu kenali, dan senyum tidaklah semesra dulu, dan berjabat tangan tidaklah seikhlas mana. Suasana kampung, dengan pohon-pohon nyiur melambai di tiup bayu, dengan hamparan sawah bendang menghijau atau menguning hingga di kejauhan cuma tinggal kenangan. Desa permai sudah tiada. Dan satu demi satu mereka pergi meninggalkan kita! Sesungguhnya, kita berada di satu zaman di mana kita bukan lagi mengangkat beg untuk pergi jauh di negeri orang dan mengucapkan “Selamat tinggal kampungku!” tetapi di mana kampung kita meninggalkan kita tanpa ucapan selamat tinggal, dan kita dengan sayu terpaksa berbisik, “Selamat jalan kampungku!”
Demikian proses permodenan melanda kita, merobah bukan sahaja jiwa dan minda kita tetapi juga tempat tinggal kita, desa permai kita, dan kehidupan dan nilai-nilai tradisional kita. Ya, perubahan ada baik dan buruknya. Kita sebagai manusia biasa tentulah merasa kesal kerana perubahan yang terlalu mendadak, namun ramai juga yang bersyukur kerana cara hidup lama sudah ditinggalkan. Apa tidaknya, kepayahan berjalan kaki melalui lumpur di jalan kerbau yang berbau tidak perlu dilalui lagi. Jika dahulu kita terpaksa pergi ke telaga yang dipenuhi katak dan ikan koruk (puyuh) untuk mengambil air, kini kita cuma perlu memutar kepala paip dan mendapat air bersih.
Dalam suasana perumahan moden kita hidup sebagai manusia yang lebih maju, manusia yang tidak lagi terikat kepada kebiasaan dan adat kampung. Kita sebenarnya memiliki privasi yang lebih kerana jika dahulu sesiapa sahaja akan datang ke rumah dan berbual berjam-jam tetapi sekarang mereka biasanya menelefon dahulu sebelum datang. Dan tabiat datang ke rumah orang tanpa sebab kini sudah dianggap satu gangguan. Ini semuanya kerana manusia hari ini lebih sibuk dengan pelbagai urusan, berbeza dengan di masa lalu di mana kebanyakan penduduk kampung tidak mempunyai pekerjaan selain bertani, dan seluruh penduduk kampung akan berhimpun ke mana-mana juga majlis yang dilangsungkan di kampung mereka. Kini, majlis kahwin sekalipun tidak semua orang dalam kampung itu yang akan hadir. Dalam kes pengkebumian, biasanya hanya sanak-saudara sahaja yang hadir.
Demikianlah, tahun demi tahun, tanah sawah dijadikan kawasan perumahan atau tapak kilang. Tahun demi tahun lebih banyak kampung akan meninggalkan kita, dan ramailah anak-anak kita di masa hadapan tidak lagi mengenal apa dia ertinya hidup di kampung, dan akan memandang rendah terhadap mereka yang dipanggil orang kampung. Mereka yang hidup di kampung pula akan meninggalkan kampung halaman mereka, walau hari ini pun, dan pergi ke kota-kota untuk mencari nafkah dan mencuba nasib mereka. Manusia dipaksa menyesuaikan diri dalam proses perubahan untuk survaiv dan berjaya dalam konteks nilai-nilai social yang lebih mencabar.
Apakah permodenan baik atau buruk? Benarkah kemodenan satu berkat atau satu kutukan? Manusia manakah yang lebih bahagia, yang tinggal di kampung terpencil atau mereka yang berada di rumah bungalow di tengah-tengah kotaraya? Fikir-fikirkanlah!

Oleh R Tombung